Pemandu e-hailing langgar lampu isyarat, hampir rempuh pejalan kaki ditahan
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pemandu kereta yang hampir melanggar seorang pejalan kaki selepas tidak berhenti di lampu isyarat merah di Jalan Sultan Hishamuddin, di Dataran Merdeka di sini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tangkapan dibuat pada jam 8.15 pagi tadi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL).
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit adalah seorang lelaki berumur 42 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan memandu sebuah Perodua Bezza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu itu melanggar lampu isyarat merah dari arah Jalan Kinabalu menuju ke Jalan Raja sehingga hampir mengakibatkan seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan menjadi mangsa.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT KL di 03-2026 0267/0269, atau hadir ke balai polis berdekatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








