Perhimpunan Hari Buruh, pemandu e-hailing tuntut tambang lebih adil
KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing di seluruh negara diseru turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka pada Jumaat ini sempena Perhimpunan dan Perarakan Aman Pemandu E-Hailing 2026 bagi menuntut pelaksanaan tambang lantai serta isu kadar tambang yang semakin menekan golongan tersebut.
Pengerusi Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia (GBBSEM), Zulkifli Othman berkata, penyertaan pemandu penting sebagai tanda solidariti dan untuk menghantar mesej jelas kepada kerajaan supaya campur tangan dalam mengawal kadar tambang demi melindungi kebajikan mereka.
Menurutnya, situasi semasa dilihat tidak adil apabila kos sara hidup terus meningkat, namun kadar tambang e-hailing semakin menurun sehingga menjejaskan pendapatan pemandu.
“Mengapa pemandu terus diperah oleh syarikat-syarikat asing yang mengaut keuntungan saban tahun, sedangkan tambang teksi boleh pula dikawal?
“Pemandu perlu bersolidariti dan bangkit menuntut keadilan. Kita hanya mahu mencari rezeki halal untuk menyara keluarga. Berikan tambang yang adil dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan.
Perhimpunan sempena Hari Pekerja itu merupakan sebahagian daripada acara tahunan anjuran Gabungan Marhaen dengan penyertaan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan serta kesatuan sekerja.
Zulkifli berkata, perhimpunan sebelum ini berlangsung secara aman, tertib dan teratur dengan pemantauan pihak Polis Kuala Lumpur sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada semua peserta.
“Pemandu tidak perlu bimbang untuk hadir kerana ini adalah hak untuk bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keberkesanan peruntukan subsidi minyak kepada pemandu yang didakwa tidak memberi manfaat sebenar, malah berkemungkinan lebih menguntungkan syarikat operator e-hailing.
Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap sikap Kementerian Pengangkutan yang dilihat seolah-olah lebih memihak kepada operator berbanding kebajikan pemandu.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, isu tambang e-hailing termasuk cadangan harga minimum akan diteliti secara menyeluruh oleh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), melibatkan aspek komisen dan struktur harga industri.
Bagaimanapun, Zulkifli menegaskan bahawa pendekatan rundingan berpanjangan tidak lagi relevan ketika ramai pemandu sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Perbincangan SEGiM tidak akan memberi manfaat segera kepada pemandu yang sedang terhimpit.
“Kami menuntut pelaksanaan harga lantai secara serta-merta, bukan menunggu kajian berbulan-bulan yang akhirnya hanya menguntungkan syarikat platform,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa memorandum berhubung isu tersebut telah diserahkan di Parlimen sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun sehingga kini masih tiada tindakan konkrit diambil dengan alasan harga ditentukan melalui mekanisme permintaan dan penawaran serta algoritma platform.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








