BERITA SEMASA

BUDI95: Siling bulanan 300 liter berdasarkan kajian DOSM

PUTRAJAYA – Siling kelayakan bulanan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sebanyak 300 liter sebulan dibuat berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan (DOSM).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, dapatan kajian berkenaan mendapati lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah berkenaan.

“Semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

“Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan terbabit dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka,” kata MOF dalam kenyataan tersebut, hari ini.

MOF menambah, kerajaan mengambil langkah bagi memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95, antaranya tiada pendaftaran diperlukan untuk subsidi berkenaan.

“Hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi.

“Terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan,” katanya.

Sebagai pilihan, MOF berkata perkhidmatan digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo turut disediakan.

Pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.

Sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pada 28 September.

“Pada 30 September, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif,” katanya.

Justeru, kerajaan menasihatkan rakyat supaya memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.

“Rakyat bagaimanapun tidak perlu tergesa-gesa membaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) atau Penghargaan SARA, kerana hal itu membuktikan cip MyKad berfungsi,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON 95 turun kepada RM1.99 seliter hanya untuk kegunaan rakyat tempatan bermula 30 September ini ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), pagi tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button