Nilai kemanusiaan teras kemajuan, pembangunan negara – PM
ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dalam mengejar pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, negara tidak boleh mengabaikan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, pembangunan bukan hanya tertumpu kepada pencakar langit, kecanggihan teknologi atau keuntungan industri semata-mata, sebaliknya mesti berakar pada nilai moral, akhlak dan keadilan.
“Kalau nilai kemanusiaan dan akhlak itu runtuh, maka pembangunan yang kita banggakan tidak membawa makna.
“Apa yang kita bangunkan ini adalah manusia, martabat manusia itulah yang perlu kita angkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia 2025, di sini hari ini.
Anwar mengingatkan bahawa kemajuan material tanpa roh moral hanya akan menjerumuskan negara ke kancah rasuah, penindasan dan ketidakadilan seperti yang berlaku di banyak negara lain.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara bukan sekadar bergantung kepada teknologi dan ekonomi, tetapi juga pada kekuatan rohani, nilai akhlak dan prinsip keadilan.
“Jangan izinkan jawatan atau kuasa dijadikan alat memperkayakan diri dan keluarga. Hentikan sifat tamak haloba yang merugikan rakyat. Itulah cabaran besar yang kita mesti hadapi bersama,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut menyeru institusi dan agensi agama untuk tampil sebagai teladan terbaik dari segi integriti, profesionalisme dan penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Agensi Islam mesti muncul paling baik urusannya, paling moden dan menjadi contoh kepada jabatan lain. Kalau mahu tahu jabatan paling baik, biarlah ia terkait dengan Islam,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








