BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pelajar tumbuk guru selepas ditegur ponteng kelas

KAJANG – Hanya kerana tidak berpuas hati ditegur ponteng kelas, seorang pelajar tingkatan dua tergamak menumbuk muka gurunya sendiri dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, guru lelaki berusia 29 tahun itu tampil membuat laporan polis berhubung kejadian kira-kira pukul 7.15 malam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca apabila pelajar itu ponteng kelas pendidikan jasmani yang sepatutnya berada di padang sekolah, dan dia ditegur guru berkenaan.

“Perkara itu membuatkan suspek tidak berpuas hati lalu berlaku pergelutan antara mereka sehingga suspek mula mengugut dan menumbuk muka gurunya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, kejadian turut disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain serta telah tular menerusi media sosial.

Menurutnya, pelajar lelaki berusia 14 tahun itu telah ditahan di sekitar Kajang dan kini direman selama dua hari sehingga hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, dimana jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.

“Bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Naazron berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan untuk pertuduhan di Mahkamah Kajang esok.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Wahid menerusi talian 013-5495236 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 38 saat memaparkan pertengkaran antara dua individu dengan seorang daripada mereka menumbuk pipi seorang lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button