Pelajar parah mangsa langgar lari di Padang Besar
PADANG BESAR – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun parah selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Semadong-Beseri dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar,Asistan Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Beseri sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Jalan Kaki Bukit.
Menurut beliau, mangsa menunggang motosikal melalui Jalan Bukit Merah, Semadong sebelum sebuah kereta dipercayai memasuki simpang secara tiba-tiba.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta dipercayai masuk ke simpang secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kereta itu.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh atas jalan dan pemandu kereta dipercayai terus meninggalkan lokasi kemalangan. Identiti dan nombor pendaftaran kereta masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Akibat kemalangan itu, mangsa dilaporkan mengalami pendarahan dalam kepala, luka di bahagian dagu serta patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah.
Mohd Shokri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan selain lesen memandu boleh digantung oleh mahkamah,” katanya lagi.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norsyahirah Salehudin di talian 016-5876810 atau hadir ke balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















