Guru mengaji dipenjara 26 tahun, 5 sebatan kerana perkosa kanak-kanak
LAHAD DATU – Seorang guru mengaji dijatuhkan hukuman 26 tahun dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku salah atas dua pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur, Ogos tahun lalu.
Keputusan dibuat Hakim Suhailla Selaq selepas tertuduh, Basry Asang, 49, mengaku salah atas dua pertuduhan pilihan.
Tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berumur 11 tahun 11 bulan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Segama Lahad Datu, antara pukul 1 tengah hari hingga pukul 3 petang, 18 Ogos 2024.
Tertuduh turut didakwa mengulangi perbuatan sama di lokasi dan waktu sama keesokan harinya.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dengan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara untuk tempoh sama dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao memohon hukuman berat dijatuhkan ke atas tertuduh memandangkan tindakannya yang tidak berperikemanusiaan terhadap hak privasi dan kesucian, selain mencemar maruah serta harga diri serta meninggalkan kesan trauma mendalam kepada mangsa.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 20 Ogos 2024.
Tertuduh turut diarahkan mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan selain menjalani perintah pengawasan polis dalam tempoh dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






