Kes bunuh Manisha: Pasangan kekasih didakwa membunuh, bersubahat
SEPANG – Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, berkenaan kes pembunuhan seorang pelajar universiti swasta berusia 20 tahun di Cyberjaya, bulan lalu.
M. Sri Darvien, 19, seorang pekerja sambilan, didakwa atas tuduhan membunuh Maniishapriet Kaur Akhara mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tertuduh kedua, D. Thineswary, juga berusia 19 tahun dan seorang pelajar, didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Darvien melakukan jenayah itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302.
Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Darvien didakwa melakukan kesalahan tersebut antara pukul 9.11 malam hingga 11.31 malam pada 23 Jun di Blok A, Mutiara Ville, Persiaran Multimedia, Cyberjaya.
Thineswary pula didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.30 tengah hari pada hari yang sama dan di lokasi yang sama.
Tiada jaminan ditawarkan, dan mahkamah menetapkan 11 September untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, kedua-tertuduh di bawa ke mahkamah dengan kawalan ketat polis
Pada 24 Jun lalu, mendiang Maniishapriet yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemukan mati di unit kediamannya di sebuah kondominium di Cyberjaya.
Siasatan awal mendapati tiada tanda pencerobohan atau serangan seksual ke atas mangsa.
Bedah siasat yang dilakukan kemudian mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan tumpul di kepala.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






