BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

Lebih 150,000 calon SPM ditawarkan tempat di IPTA – KPT

PUTRAJAYA – Seramai 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bersamaan 67.33 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan ditawarkan tempat pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi kemasukan tahun ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), permohonan diterima melalui sistem UPUOnline®️ melibatkan 223,624 calon yang memohon pengajian di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti serta institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT).

“Daripada jumlah itu, 86,589 calon ditawarkan ke UA; 42,058 ke Politeknik; 20,427 ke Kolej Komuniti dan 1,483 ke MARA BPT.

“Seramai 349 program pengajian ditawarkan bagi sesi ini, merangkumi 41 program Sijil, 55 Asasi, 252 Diploma dan satu program Ijazah Sarjana Muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai inisiatif memperkukuh akses saksama kepada pendidikan tinggi, KPT memperuntukkan 17,693 tempat di bawah laluan khas, melibatkan 16,189 calon daripada kumpulan B40; 590 Orang Kurang Upaya (OKU); 593 atlet dan 321 calon daripada komuniti orang asli.

Selain itu, seramai 43 calon dari institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditawarkan pengajian.

“Pemilihan calon berasaskan prinsip meritokrasi, dengan semua yang layak disusun mengikut markah merit tertinggi tanpa mengira latar belakang,” jelasnya.

Bagi calon yang tidak berjaya dalam pengambilan pertama, proses rayuan dibuka selama 10 hari, bermula 16 Jun 2025, pukul 12 tengah hari hingga 25 Jun 2025, pukul 5 petang, menerusi platform UPUOnline®️.

“KPT merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan berharap mereka dapat memanfaatkan peluang ini untuk membina masa depan lebih cemerlang melalui pendidikan tinggi,” ujarnya.

KPT komited memastikan pendidikan tinggi negara kekal kompetitif, inklusif dan relevan dengan keperluan rakyat serta pasaran kerja, selaras aspirasi Malaysia sebagai negara berilmu dan maju.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button