Sebar video lucah di Telegram, freelancer didenda RM20,000
SEPANG – Seorang pekerja bebas (freelancer) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghantar video lucah berkumpulan melalui aplikasi Telegram bagi tujuan komersial, Februari lalu.
Tertuduh, Ahmad Ali Madali, 40, dijatuhkan hukuman tersebut oleh Hakim Ahmad Fuad Othman selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Sekiranya gagal membayar denda, Ahmad Ali bakal berdepan hukuman penjara selama enam bulan.
Difahamkan, beliau telah melunaskan bayaran denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Ali secara sedar telah menggunakan akaun Telegram miliknya untuk memberikan akses kepada kumpulan Telegram bertajuk ‘Swinger Melayu VVIP XXXX’ yang mengandungi kandungan lucah kepada seorang ejen penyamaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 10 Februari 2024 sekitar pukul 10.05 malam.
Perbuatan itu dilakukan bagi tujuan komersial, menjadikan beliau didakwa mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Ahmad Fuad menegaskan bahawa perbuatan tertuduh memberi kesan buruk kepada masyarakat serta bertentangan dengan prinsip moral dan nilai agama.
“Aktiviti seperti ini jelas bercanggah dengan nilai agama Islam, moral serta prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Jika perkara ini tidak dibendung, ia akan merosakkan moral masyarakat secara menyeluruh,” tegas beliau.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada kerja sambilan mempromosikan iklan di media sosial.
Ahmad Ali turut memaklumkan beliau menyara isteri yang tidak bekerja, seorang anak berusia tiga tahun dan menanggung kos rawatan bapa mertua yang menghidap diabetes serta masalah jantung dengan perbelanjaan antara RM500 hingga RM800 sebulan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Azmir Mohd Razali memohon hukuman berat dikenakan memandangkan kesalahan itu bersifat serius dan berpotensi mendedahkan bahan lucah kepada kanak-kanak.
Menurut fakta kes, hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit tertuduh mendapati terdapat transaksi pembayaran melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet berjumlah RM400 pada hari kejadian, dipercayai bayaran oleh ejen penyamaran sebagai balasan terhadap akses kandungan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








