Dua lelaki didenda RM4,000 sebar berita palsu subsidi minyak
SEPANG – Tindakan dua lelaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pengurangan subsidi minyak rakyat melalui aplikasi TikTok membawa padah apabila masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kedua-dua tertuduh, Mohd Aiman Zaini Satar, 29, dan Romfazly Syam Mohd Mokhtar, 46, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mohd Aiman yang bekerja sebagai pemandu peribadi didakwa secara sedar menggunakan akaun TikTok ‘@aimanzaini24’ untuk memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 4 April lalu.
Kandungan tersebut kemudiannya dikesan oleh Penolong Pengarah Jabatan Moderasi Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 5 April 2026, pukul 11 pagi di Menara MCMC 1, Cyberjaya.
Dalam prosiding sama, Romfazly yang merupakan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut mengaku bersalah atas kesalahan sama menggunakan akaun TikTok ‘@fazlydrako’.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 4 April pukul 3 petang sebelum hantaran berkenaan dikesan pada 5 April 2026 pukul 11.03 pagi di lokasi sama.
Hantaran dimuat naik kedua-dua tertuduh itu mendakwa kononnya kerajaan mengurangkan kuota subsidi minyak rakyat daripada 300 liter kepada 200 liter bagi membolehkan subsidi disalurkan kepada pemegang lesen memandu Singapura.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd. Zameri.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Peruntukan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, namun mereka difahamkan telah menjelaskan bayaran tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








