Fahmi Fadzil beri amaran keras kegiatan jual video lucah dalam talian
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dalam penjualan bahan lucah secara dalam talian.
Menurut Fahmi, pindaan terhadap Akta Komunikasi telah dibuat termasuk menetapkan bahawa penjualan video bersifat pornografi kini merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh ditangkap.
“Kita telah pindah akta komunikasi termasuk untuk menjadikan jualan video yang bersifat pornografi sebagai satu jenayah yang boleh ditangkap.
“Jadi kepada mana-mana pihak yang membuat percubaan seperti ini saya memberi amaran keras kerana tindakan boleh diambil dan saya telah minta pihak MCMC untuk mengesan individu tersebut bersama dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya dalam satu sidang media selepas program agihan Jalur Gemilang di ibu negara hari ini.
Beliau berkata demikian susulan laporan berhubung seorang individu dikenali sebagai Hot Daddy atau Daddy Ash yang didakwa merancang menjual video lucah menerusi aplikasi Telegram.
Tambah Fahmi, walaupun belum menerima maklumat terkini, pihak berkuasa berkaitan sedang giat menyiasat dan pengguna disaran merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perkembangan lanjut.
“Transaksi yang melibatkan bahan lucah adalah satu jenayah sejak kita buat pindaan yang berkuatkuasa bulan April tahun ini dan boleh ditangkap. Ia adalah kesalahan yang boleh ditangkap,” tegasnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








