Trump tangguh tarif 50% ke atas barangan EU hingga 9 Julai
ISTANBUL — Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju menangguhkan pelaksanaan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan dari Kesatuan Eropah (EU) sehingga 9 Julai susulan perbualan telefon bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.
Memetik laporan Anadolu, Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social pada semalam berkata, von der Leyen telah memohon lanjutan tersebut bagi memberi ruang kepada rundingan yang akan dimulakan segera.
Trump menyifatkan keputusan memberi penangguhan itu sebagai satu “keistimewaan” dalam usaha meredakan ketegangan perdagangan antara Washington dan Brussels.
Von der Leyen dalam kenyataan berasingan turut mengesahkan perbualan telefon itu, sambil menegaskan bahawa EU bersedia bertindak “dengan pantas dan tegas” untuk memajukan rundingan perdagangan antara kedua-dua pihak.
“Untuk mencapai perjanjian yang baik, kami memerlukan masa sehingga 9 Julai,” katanya.
Sebelum ini, Trump mengancam untuk mengenakan tarif baharu bermula 1 Jun dengan mendakwa wujudnya amalan perdagangan tidak adil serta halangan yang menjejaskan syarikat-syarikat AS.
Bagaimanapun, penangguhan ini dilihat sebagai petanda awal bahawa ketegangan perdagangan antara kedua-dua kuasa ekonomi berkenaan mula reda, meskipun perbezaan ketara masih wujud melibatkan tarif, subsidi dan piawaian kawal selia
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








