Perdana Menteri Sepanyol balas semula ‘keangkuhan’ Trump
MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez dengan tegas membidas kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa negara itu tidak akan berganjak daripada prinsip keamanan dan undang-undang antarabangsa.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Trump semalam mengugut akan memutuskan hubungan perdagangan dengan Sepanyol selepas negara itu tidak membenarkan AS menggunakan pengkalan tentera bersama di Morón dan Rota untuk menyerang Iran.
Dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung selama 10 minit dari kediaman rasmi, Sánchez menegaskan pendirian kerajaan boleh dirumuskan dengan satu mesej jelas iaitu ‘tidak kepada perang’.
Beliau mengimbas semula konflik di Ukraine dan Gaza serta perang Iraq lebih dua dekad lalu sebagai peringatan bahawa pencabulan undang-undang antarabangsa sering membawa kepada bencana kemanusiaan.
Terdahulu, Trump mengugut mengenakan embargo perdagangan sepenuhnya terhadap Sepanyol.
“Sepanyol sangat teruk. Kami akan memutuskan semua perdagangan dengan Sepanyol. Kami tidak mahu ada apa-apa lagi urusan dengan mereka,” kata Trump ketika bertemu Canselor Jerman, Friedrich Merz.
Bagaimanapun, Merz dilapor memaklumkan kepada Trump bahawa beliau tidak boleh memeterai perjanjian perdagangan berasingan dengan Jerman atau seluruh Eropah tanpa melibatkan Sepanyol.
Ancaman ekonomi itu turut mengundang reaksi pemimpin Eropah lain.
Istana Élysée memaklumkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyatakan solidariti kepada Sepanyol dalam perbualan telefon dengan Sánchez.
Manakala Presiden Majlis Eropah, António Costa, turut menyuarakan sokongan penuh Kesatuan Eropah terhadap Madrid.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut menuduh Sepanyol sebagai ‘rakan kongsi yang lemah’ dalam NATO kerana gagal meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Awal tahun ini, hubungan kedua-dua pemimpin itu turut tegang selepas Sánchez secara terbuka mengkritik tindakan ketenteraan AS di Venezuela.
Mengulas lanjut, Sánchez menegaskan isu sebenar bukan soal menyokong mana-mana pihak, sebaliknya mempertahankan keamanan dan prinsip perundangan antarabangsa.
“Soalnya bukan sama ada kita berpihak kepada Ayatullah. Tiada siapa yang berbuat demikian. Soalnya ialah sama ada kita menyokong keamanan dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, tindakan membalas satu pelanggaran undang-undang dengan pelanggaran lain hanya akan membuka jalan kepada malapetaka lebih besar.
Perdana Menteri berhaluan sosialis itu turut menegaskan pendirian Sepanyol terhadap konflik di Gaza konsisten dengan pendekatan yang sama, termasuk kritikan lantang terhadap tindak balas ketenteraan Israel susulan serangan Hamas pada 2023.
Sepanyol antara negara Eropah paling vokal dalam isu Gaza, malah mengiktiraf negara Palestin lebih awal berbanding beberapa anggota Kesatuan Eropah lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








