Jenayah & Mahkamah

KPDN pergiat usaha banteras aktiviti seleweng minyak diesel di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyelewengan minyak diesel, di sini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Yusof, berkata, pemeriksaan yang dijalankan merangkumi kawasan hotel, ladang teh serta stesen minyak sekitar Cameron Highlands menerusi Ops Tiris.

Katanya, sebanyak 63 individu telah ditahan sepanjang Ops Tiris dijalankan pada 1 hingga 17 Mac lalu.

Tambahnya, susulan penahanan tersebut, KPDN telah berjaya merampas minyak diesel yang diseleweng dengan nilai rampasan sebanyak RM1.2 juta.

“Sebanyak 2,164 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis.

“Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 55 kes (19 kes serahan agensi) telah dihasilkan melibatkan stesen minyak, rumah, pemborong, kuari, bengkel kenderaan dan lain-lain serta nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPDN turut memberi amaran akan mengenakan hukuman keras kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Katanya, mereka yang terlibat boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta.

Jelas Azman, pegawai penguat kuasa KPDN juga telah digerakkan di seluruh negara bagi memastikan penguatkuasaan menyeluruh dibuat di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan bandar serta di luar bandar.

Show More

Related Articles

Back to top button