JENAYAH & MAHKAMAH

Dua rakyat Malaysia ditahan cuba seludup 10kg ganja ke Singapura

SINGAPURA – Dua rakyat Malaysia, masing-masing lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 35 tahun, ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup kira-kira 10 kilogram (kg) dadah disyaki ganja.

Menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih S$203,000 (kira-kira RM649,000) dan boleh digunakan oleh 1,450 penagih selama seminggu.

“Kedua-dua individu yang menunggang motosikal berdaftar Malaysia ditahan apabila tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 15 September lalu, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pusat Sasaran Bersepadu ICA.

“Ketika pemeriksaan, pegawai ICA menemukan empat bekas bahan sayuran dipercayai dadah terkawal di bawah tempat duduk motosikal.

“Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) segera dimaklumkan mengenai pengesanan itu dan menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum menemui enam lagi bekas bahan sayuran yang dipercayai dadah terkawal dalam beg sandang hitam pada palang motosikal,” kata ICA dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut ICA, bungkusan yang dirampas itu didapati mengandungi sejumlah 10.164kg ganja.

“Siasatan sedang dijalankan. Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, mereka yang mengimport atau mengeksport dari Singapura lebih 500 gram ganja boleh berdepan hukuman mati,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button