RTM tawar tiga drama bersiri terbaik sepanjang Ramadan
BAGI memenuhi citarasa tontonan rakyat Malaysia yang menjadikan sajian drama sebagai pilihan utama, tiga drama bersiri terbaik menanti penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang bulan Ramadan ini.
Terus menghidupkan tema Hayati Ramadan Syukuri Syawal, RTM menawarkan drama-drama pilihan istimewa dengan plot kisah yang menonjolkan keinsafan, pengorbanan, kasih sayang dan ketulusan hati yang sememangnya dekat di hati penonton.
Ia juga bertujuan mengimarahkan bulan penuh kesucian dan keberkatan ini dengan drama-drama yang penuh ibrah untuk dihayati.
Drama bertajuk ‘Rumah Kasih Suraya’, ‘Haluan’ dan ‘Menantu Dari Amsterdam’ akan disiarkan hampir setiap hari menerusi saluran utama TV1, TV2 dan Okey.

Saluran TV1 mengajak penonton menyaksikan drama bersiri penuh emosi bertajuk ‘Rumah Kasih Suraya’ mulai 24 Februari, setiap Sabtu hingga Khamis pada pukul 1.30 petang.
Ia mengetengahkan kisah Suraya Hanis, lakonan Nad Zainal yang merupakan bekas peragawati yang membuka Rumah Kasih Suraya menjelang Ramadan sebagai tanda rasa tanggungjawab dan keinsafan.
Drama ini memaparkan pengorbanannya untuk membantu mereka yang memerlukan serta cabaran di sebalik kerjaya glamor yang penuh fitnah dan godaan.
Malah, melalui drama ini, ia juga meyakini betapa pentingnya keimanan, ketabahan mental dan usaha gigih untuk berjaya dalam dunia selebriti.
Pada masa sama, rumah kebajikan tersebut turut dihuni oleh Primadona Zaiton, artis veteran yang sangat popular satu masa dulu dan pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik.
Selain Nad Zainal, drama arahan Waan Hafiz dan skrip hasil tulisan Zahirah Hassan ini turut menampilkan pelakon berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud, Fad Anuar, Datuk Jalalauddin Hassan, Nor Albaniah, Sobri Anuar dan Adam Shahz.
Sementara itu, TV2 membawakan drama 30 episod bertajuk ‘Haluan’ bermula mulai 1 Mac yang disiarkan setiap hari pada pukul 6.00 petang dan ulangannya pukul 6.02 pagi.

Kemunculan pelakon Rusdi Ramli sebagai watak utama pastinya mengubat kerinduan peminat yang sudah lama tidak menyaksikannya beraksi dalam lakonan.
Rusdi turut bergandingan dengan Joyce Harn, Dilla Ahmad, Tuah Adzmi, Arena Wan, Zain Hamid dan Deen Maidin.
Ikuti perjalanan kisah Ghaffar, seorang bekas banduan yang dipenjara kerana disyaki menyebabkan kematian 15 orang penumpang bas yang dibawanya kerana terlibat dalam kemalangan.
Manakala Irene seorang wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan kisah Ghaffar yang terlibat dalam tragedi kemalangan lalu telah menemui bukti bahawa nahas tersebut bukan semata-mata disebabkan kecuaian Ghaffar dan cuba menyelongkar kembali kisah nahas tersebut.
Terbaik di saluran Okey pula menyiarkan drama bersiri ‘Menantu Dari Amsterdam’ iaitu kisah plot cerita cinta terhalang oleh keluarga gandingan pelakon utama Danial Dashuki dan Nadiyah Shahab.
Ia ditayangkan bermula 1 Mac dengan siaran setiap hari pada pukul 5.30 petang.
Turut menampilkan pelakon Normah Damanhuri, Elly Arifin, Wanns Ahmad, Nazia Mustafar, Zalif Sidek, Danie Anwa dan Khalida Balqis, drama 30 episod ini mengangkat latar cerita tentang Johanna Philouzulkifli, seorang mahasiswa tahun akhir jurusan psikologi di sebuah universiti di Amsterdam.
Johanna berusia 21 tahun dan berdarah kacukan Belanda-Melayu. Ibunya telah meninggal dunia dan kini dia tinggal bersama bapanya, Zulkifli di Amsterdam.
Konflik timbul apabila bapanya yang sedang sakit memohon agar Johanna berkahwin dengan seorang lelaki yang mampu menjaga dirinya selepas ketiadaannya.
Apakah kesudahan kisah Johanna? Jangan lupa pastikan anda meluangkan masa menonton drama terbaik sepanjang Ramadan ini di RTM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








