RTM rangka garis panduan AI, lindungi karya dan bakat tempatan
SHAH ALAM – Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedang merangka garis panduan khusus penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan karya seni serta bakat tempatan terus dipelihara dalam industri penyiaran negara.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, perbincangan kini giat dijalankan bersama pihak berkaitan bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan sebagai alat meningkatkan kualiti, bukan menggantikan peranan manusia sepenuhnya.
“Kita sudah memulakan usaha ke arah itu dan kini dalam fasa perbincangan untuk mewujudkan garis panduan AI, khususnya dalam konteks penyiaran negara,” katanya selepas majlis pelancaran program Salam Baitullah 2026, di sini hari ini.
Program berkenaan dijadualkan bersiaran secara langsung di TV1 bermula 13 hingga 27 Mei ini.
Menurutnya, pendekatan utama RTM adalah menjadikan AI sebagai pemangkin peningkatan kualiti insan dan produk media, bukan sebagai pengganti bakat manusia.
“AI adalah alat untuk mempertingkatkan kualiti manusia, bukan robot yang mengambil alih peranan mereka. Kita tidak mahu bakat tempatan dipinggirkan,” katanya memetik laporan Metro Online.
Mengulas cabaran dalam mengekalkan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan, beliau mengakui penggunaan AI tidak dapat dielakkan, namun perlu diurus secara berhemah.
“Teknologi ini akan terus berkembang, dan keutamaan kita adalah membina kepercayaan serta mengukuhkan asas sedia ada dengan memastikan AI digunakan untuk memacu peradaban dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Tambah beliau, walaupun usaha itu mencabar, RTM komited mempertahankan karya seni dan warisan budaya tempatan agar tidak tenggelam dalam arus teknologi.
“Karya seni tempatan perlu terus dipelihara dan diangkat martabatnya melalui garis panduan yang jelas sebagai panduan dalam memacu industri penyiaran,” katanya.
Terdahulu, RTM menerima kritikan segelintir pengguna media sosial susulan penggunaan teknologi AI dalam beberapa kandungan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








