Berita Semasa

Kerajaan sasar tiada lagi penggunaan beg plastik pada 2025

KLANG – Kerajaan menyasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada 2025.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, buat masa ini pelaksanaan dibuat secara berfasa dari premis tetap sebelum beralih secara berperingkat kepada premis perniagaan termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.

“Cuma cara pelaksanaan dan (kadar caj yang dikenakan serta kekerapan serahan kutipan) kita sudah berikan ruang pada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mereka (kerajaan negeri dan PBT) ada konteks tersendiri.

“Pendekatan kita bukan hanya denda (jika peniaga masih membekalkan beg plastik pada 2025) sebaliknya, ada insentif dalam menggalakkan peralihan berkenaan.

“Perincian mengenainya akan diumumkan dari semasa ke semasa,” kata Nik Nazmi.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan beg kitar semula Madani dan kempen tanpa beg plastik di Wisma 99 Speed Mart, di sini hari ini.

Ketika ini, empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan adalah empat negeri yang ke hadapan dalam pelaksanaan kempen bebas beg plastik.

Katanya, kempen itu satu daripada pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

“Sampah plastik adalah masalah besar di negara ini malah Malaysia berada antara 10 negara dunia yang berdepan masalah sampah plastik tidak terurus.

“Berdasarkan laporan World Wildlife Fund (WWF), anggaran penggunaan bungkusan plastik makanan sahaja di Malaysia mencecah 148,000 metrik tan, bagi tahun 2020,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button