Berita Semasa

Wanita maut, lori tanah rempuh 5 kereta berhenti di lampu isyarat

NILAI – Seorang wanita maut tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta dinaiki dan lima buah kenderaan lain dirempuh lori muatan tanah di sini petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, nahas pada pukul 3.45 petang itu berlaku di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati semasa kejadian lori dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke pusat bandar Nilai.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, kenderaan berat itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar lima buah kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

“Akibat kemalangan, pemandu kereta jenis Perodua Ativa iaitu wanita berusia 31 tahun tersepit di tempat duduk. Mangsa yang parah di badan dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat mangsa yang menaiki kereta pelbagai guna jenis Perodua Alza cedera ringan.

“Pemandu lori dan empat yang lain masing-masing menaiki tiga lagi kereta tidak cedera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mat Ghani berkata, mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban oleh orang awam dan ambulans. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Show More

Related Articles

Back to top button