PMX

PM hubungi Presiden Iran, nyata komitmen sokong usaha gencatan senjata di Gaza

KUALA LUMPUR – Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang usaha untuk merealisasikan gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza.

Sokongan tersebut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu panggilan telefon dengan Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian dan Ahli Biro Politik Hamas, Dr. Basem Naim serta lewat petang semalam.

“Sebelum berlepas ke India, saya sempat menghubungi Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan Dr Basem Naim, ahli Biro Politik Hamas lewat petang semalam.

“Bicara kami menyentuh beberapa usaha penting terkait usaha untuk merealisasikan gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Perdana Menteri, berkata, beliau juga menyatakan sokongan penuh kerajaan Malaysia terhadap usaha tersebut yang sewajarnya dipelopori oleh negara-negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.

“Ini termasuk cadangan Turkiye untuk menghimpunkan pimpinan dunia Islam menerusi sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyelaras gerakan dan mengenakan tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat serta sekutunya, supaya mendesak rejim Zionis Israel segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.

“Alhamdulillah, Kerajaan Iran dan Hamas senada dan menyokong inisiatif ini, termasuk cadangan menjemput negara bukan Islam yang turut mendukung keadilan dan memperjuangkan hak kemanusiaan buat rakyat Palestin seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland dan Portugal,” ujar Perdana Menteri.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, beliau serta Dr. Masoud dan Dr. Basem turut berkongsi pendirian sama, di mana usaha mewujudkan perdamaian ini perlu bermula dengan rejim Israel menghentikan sepenuhnya serangan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button