Berita Semasa

Muat naik kandungan palsu berkaitan majlis tilawah, seorang individu dikompaun RM25,000

CYBERJAYA – Seorang individu dikenakan kompaun berjumlah RM25,000 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) kerana memuat naik kandungan palsu berkaitan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran tahun ini.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), individu berkenaan telah memuat naik status di Facebook yang menyebut bahawa majlis tahunan anjuran kerajaan itu tidak akan diadakan kali ini setelah dipengaruhi oleh pihak tertentu.

“Individu tersebut turut menggunakan perkataan yang menyentuh isu 3R (Race, Religion, Royal). Seksyen 233 AKM 1998 melarang antara lain pembuatan atau penghantaran komunikasi yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Peranti milik suspek yang telah dirampas

Dalam pada itu katanya, MCMC memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan
aplikasi media sosial. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan perkhidmatan
rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.

Selain itu, orang ramai juga perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang maklumat yang diterima dan jika tidak pasti, rujuk dahulu dengan pihak berwajib atau sumber-sumber rasmi untuk pengesahan.

Show More

Related Articles

Back to top button