Berita Semasa

MOT siasat pelabuhan digunakan seludup heroin ke Australia

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pelabuhan yang digunakan oleh sindiket untuk menghantar dadah jenis heroin seberat 336 kilogram (kg) dalam sebuah kontena ke Brisbane, Australia baru-baru ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti pelabuhan yang digunakan dalam penghantaran dadah itu.

“Apa-apa kargo yang daripada Malaysia, menggunakan pelabuhan kita untuk angkut bahan larangan merupakan kesalahan serius.

“MOT akan dapatkan maklumat pelabuhan mana dan siasat pelabuhan tersebut. Belum ada maklumat lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesahkan pihak berkuasa Australia merampas dadah heroin seberat 336 kg disembunyikan dalam dua blok konkrit dan dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane.

Dadah tersebut dianggarkan bernilai A$268.8 juta (RM789.56 juta).

Rampasan tersebut dibuat pada 13 Mac 2023 lalu oleh Persekutuan Polis Australia.

Show More

Related Articles

Back to top button