JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada petunjuk baharu dalam siasatan kes penemuan bahan letupan pada kereta Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemukan sebarang petunjuk baharu berhubung siasatan penemuan bom jenis Improvised Explosive Device (IED) yang diletakkan pada kereta peguam Siti Kasim pada 21 Julai lalu.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut tidak menunjukkan ada suspek boleh disyaki (potential suspect).

Beliau yang juga bakal Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memberitahu, rakaman CCTV berkenaan tidak menunjukkan kenderaan milik Siti Kasim didekati mana-mana individu yang boleh disyaki.

Malah, beliau berkata, pihaknya juga tidak menemukan sebarang cap jari individu yang disyaki di kenderaan itu.

“Buat masa ini, kita tidak ada petunjuk untuk menjuruskan kepada sesiapa, namun siasatan masih dibuka dan kes berkenaan tidak pernah ditutup

“Kita harap, sesiapa yang ada maklumat boleh panjangkan kepada pihak kita bagi siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur serta Pengerusi Perkep Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini.

Allaudeen menggantikan Mohd Shuhaily yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Pada 31 Julai lalu, polis mengesahkan mengambil keterangan 13 individu terdiri daripada mangsa, rakan-rakan, mekanik dan pengawal keselamatan kediaman mangsa.

Pada 21 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengesahkan dua objek ditemukan di bahagian bawah kereta Siti Kasim atau nama sebenar Siti Zabedah Kasim adalah bom jenis IED.

Beliau dilaporkan berkata, ia berdasarkan siasatan dilakukan pihak Unit Pemusnah Bom (UPB) dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta letupan 1957.

Dalam pada itu, Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis kenderaan pada pukul 12 tengah hari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button