Berita Semasa

Menu Rahmah diperkenal bagi bantu golongan miskin tegar

BANGI – Kerajaan akan memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan menu makanan pada harga RM5 dan ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menu berkenaan yang merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur akan dilaksanakan selepas kementeriannya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia, pada minggu hadapan.

“Menu ini dikhususkan kepada golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap masak pada harga munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan jelajah mesra dan pemeriksaan Ops Menu, di sini hari ini.

Tambahnya, menu berkenaan tercetus menerusi sesi libat urus kementerian bersama pemain industri semalam bagi mencari kaedah terbaik menangani isu kenaikan harga makanan dalam situasi ‘menang-menang’ bagi mengurangkan kos operasi serta menawarkan harga munasabah kepada pelanggan.

Mengenai pelaksanaan Ops Menu 3.0 yang bermula pada 23 Jan lepas, Salahuddin berkata, sebanyak 614 premis makanan diperiksa di seluruh negara, dengan sembilan tindakan dikenakan kepada peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Akta tersebut memperuntukkan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat manakala bagi individu, denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Bagaimanapun kerajaan mahu elak kenakan tindakan undang-undang kepada pengusaha premis makanan, jadi saya harap pengusaha premis dapat patuhi undang-undang dan beri kerjasama,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button