BERITA SEMASA

Kampung Angkat MADANI bukan sekadar simbolik – Mohamad Sabu

TASEK GELUGOR – Program Kampung Angkat MADANI bukan sekadar program simbolik atau bersifat sementara, sebaliknya pendekatan menyeluruh kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi mula menunjukkan hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

mohamad sabu
Program Sekolah angkat MADANi

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kejayaan program itu bergantung kepada kerjasama semua kementerian, jabatan dan agensi dalam menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih pantas serta berkesan.

Menurut beliau, konsep ‘keseluruhan kerajaan’ yang diterapkan Kerajaan MADANI membolehkan setiap isu di peringkat komuniti ditangani secara bersama tanpa bergantung kepada satu pihak sahaja.

“Program Kampung Angkat MADANI ini bukan program suka-suka, bukan program letak papan tanda, ambil gambar, kemudian semua balik dan habis cerita.

“Ia mesti memberi kesan kepada rakyat. Kalau jalan rosak, kemudahan awam perlu dibaiki, kita usahakan. Kalau komuniti perlu dibantu atau anak muda perlukan latihan, kita buka peluang dan jika kampung ada potensi pertanian, kita gerakkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan MPKK Kampung Guar Petai di sini hari ini.

Mohamad berkata, menerusi program itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan serta kesejahteraan Kampung Guar Petai sebagai Kampung Angkat MADANI.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora turut menerima peruntukan RM100,000 menerusi program Sekolah Angkat MADANI bagi menambah baik kemudahan dan pembangunan pendidikan sekolah berkenaan.

“Antara projek yang dilaksanakan di Kampung Guar Petai ialah penurapan dan naik taraf jalan kampung sepanjang kira-kira satu kilometer, kerja membaik pulih rumah usang serta mendalam dan melebarkan longkang tanah sedia ada selain kerja memangkas pokok.

“Kita turut melaksanakan keceriaan masjid termasuk mengecat, penurapan parkir, pemasangan lampu dan papan tanda serta enam unit tiang lampu solar.

“Bagi sekolah pula membabitkan kemudahan infrastruktur pejabat dan bilik guru selain membaik pulih tandas murid yang tersumbat dan pelbagai lagi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button