Berita Semasa

Isu Grab kurangkan kadar upah, MOT akan dapatkan penjelasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mendapatkan penjelasan daripada syarikat Grab berkenaan dakwaan kadar asas upah diturunkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau akan bertemu dengan semua pemegang taruh berhubung memorandum yang diserahkan kepada wakilnya semalam.

“Memorandum itu kita akan kaji dan kita akan bincang dengan pihak kementerian lain yang terlibat.

“Kita juga akan meminta Grab untuk beri penjelasan,” katanya, hari ini.

Anthony berkata demikian kepada pemberita selepas selesai meninjau pembukaan semula Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya, di sini pagi tadi.

Semalam, kira-kira 50 ‘rider’ menyerahkan memorandum berkaitan penurunan kadar asas upah sejak sebulan lalu, yang didakwa memberi impak besar kepada pendapatan harian mereka kerana terkesan dengan kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.

Memorandum diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Menurut wakil pekerja p-hailing, Mohd Adie Ali Nafiah, yang ditemui semalam mendakwa pengumuman syarikat terbabit menurunkan kadar sehingga RM1 disifatkan tidak berbaloi dengan masa, tenaga dan nyawa yang dipertaruhkan.

Mohd Adie berkata, pendapatan bulanan mereka turut terjejas hingga RM1,000 akibat keputusan syariakt terbabit.

Sebelum ini, kadar upah asas bagi dua kilometer (km) ke bawah adalah RM5, namun sejak sebulan lalu, syarikat menurunkan kadar terbabit kepada RM4 hingga RM4.50.

Show More

Related Articles

Back to top button