BERITA SEMASA

Ginie Lim jemput dua calon lawan adakan dialog terbuka bincang pembangunan Machap Jaya

MACHAP JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin mengemukakan jemputan rasmi kepada dua calon lawannya untuk mengadakan dialog terbuka bagi membincangkan idea dan cadangan pembangunan kawasan itu.

Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan memberi ruang kepada semua calon berkongsi pandangan serta pendekatan masing-masing dalam membawa kemajuan dan kebaikan kepada penduduk Machap Jaya.

Menurutnya, persaingan tiga penjuru di kerusi berkenaan menyaksikan beliau berdepan penyandang, Datuk Ngwe Hee Sem daripada Barisan Nasional (BN) dan Prasanth Kumar Brakasam daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

“Bagi saya, ini adalah satu pertandingan yang sihat sebab masing-masing mempunyai kepakaran dan juga pengalaman pentadbiran dalam kerajaan.

“Jadi, saya pun telah mengemukakan jemputan rasmi kepada kedua-dua pihak lawan untuk mengadakan dialog secara terbuka bagi kita membincangkan apa idea ataupun cadangan yang boleh dibawa untuk kemajuan dan kebaikan Machap Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program sambutan awal Deepavali yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ginie berkata beliau masih menunggu maklum balas kedua-dua calon berhubung tarikh dan masa yang sesuai bagi merealisasikan pertemuan itu.

“Saya masih menunggu mereka untuk memberikan masa dan tarikh kerana saya hormat mereka dan tahu masing-masing mempunyai jadual kempen yang sibuk.

“Jadi, saya harap kita dapat bertemu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata sudah mengadakan pertemuan dengan pengundi di kesemua lapan daerah mengundi dalam kawasan DUN berkenaan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai isu setempat.

Katanya, segala persoalan yang dibangkitkan penduduk sedang dikumpulkan untuk dibawa ke meja perbincangan supaya dialog yang dicadangkan itu benar-benar mencerminkan keperluan masyarakat setempat.

“Saya pun dalam proses mengumpulkan soalan-soalan yang dikemukakan oleh mereka supaya kita dapat berdialog berdasarkan isu-isu yang ditimbulkan.

“Jadi, bukan isu daripada saya sahaja, tetapi saya akan bawa isu-isu yang menjadi kebimbangan ataupun pertimbangan utama penduduk di DUN Machap Jaya,” katanya.

Mengulas penerimaan pengundi terhadap kepulangannya bertanding di kawasan itu, bekas ADUN Machap Jaya berkenaan berkata beliau menerima banyak mesej dan panggilan daripada kenalan lama serta penduduk sebaik sahaja diumumkan sebagai calon.

Katanya, sambutan secara bersemuka ketika turun bertemu pengundi turut menyentuh perasaannya apabila ramai menyatakan kegembiraan melihat beliau kembali bertanding.

“Sejak saya diumumkan sebagai calon, sebelum penamaan calon lagi, saya mendapat banyak mesej ataupun panggilan daripada sahabat-sahabat lama dan pengundi untuk memberi galakan kepada saya.

“Bila saya berjumpa dengan mereka secara fizikal, ramai yang sangat gembira dan mengatakan ‘selamat kembali’, ‘teruskan’ dan ‘welcome back’. Itu membuatkan saya sangat terharu,” katanya.

Pada masa sama, Ginie mengambil kesempatan memohon maaf kepada penduduk sekiranya terdapat projek atau perkara yang masih belum dapat diselesaikan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebelum ini.

Beliau berkata, peluang untuk kembali berkhidmat selama lima tahun diperlukan bagi membolehkannya menyambung usaha yang tertangguh dan melengkapkan perkara yang belum disempurnakan.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk meminta maaf kepada pengundi sekiranya ada projek ataupun perkara yang belum sempat saya selesaikan dalam tempoh berkhidmat sebelum ini.

“Kali ini saya mohon berilah saya lima tahun untuk menyelesaikan apa yang tertangguh ataupun apa yang tidak lengkap dan sempurna sebelum ini kerana saya tidak mempunyai lima tahun pada penggal lepas,” katanya.

Sementara itu, program sambutan awal Deepavali berkenaan menghimpunkan lebih 2,000 pengunjung daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat India, Cina, Melayu dan Orang Asli.

Ginie turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menyifatkan kehadiran masyarakat berbilang kaum itu sebagai antara penyertaan yang memeriahkan program berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button