BERITA SEMASA

MAIS pantau individu berkemungkinan terpengaruh ritual Aliff Daniel

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memantau mana-mana individu yang berkemungkinan terpengaruh dengan ritual diamalkan bekas pengamal perubatan tradisional, Aliff Daniel Adli, 21.

Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pemantauan itu akan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Akidah MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengesan kumpulan atau individu yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat kumpulan yang mengamalkan atau menganjurkan fahaman bertentangan dengan pegangan berkenaan.

“Kita tidak pasti sama ada Aliff Daniel ada pengikut atau tidak. Andai kata ada kumpulan yang mengamalkan atau menganjurkan sesuatu fahaman berbeza daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita akan terus ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Salehuddin berkata, MAIS turut memantau perkembangan Aliff Daniel sepanjang tempoh pemulihan akidahnya, termasuk mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Katanya, pemantauan itu bertujuan menilai perkembangan proses pemulihan selain memastikan bekas pengamal perubatan tradisional berkenaan mendapat bimbingan agama yang sewajarnya.

“Kita mengharapkan selama tempoh tiga bulan ini, kita dapat memberikan asas agama yang kukuh kepada beliau dan selepas itu, kita akan pantau.

“Kita juga akan menghubungi keluarga beliau supaya mereka terus istiqamah menuntut ilmu agama dan mendapat bimbingan daripada guru yang benar-benar boleh membimbing mereka,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button