Pembangunan bandar perlu utamakan martabat manusia, bukan mercu tanda – PM
PETALING JAYA – Kejayaan pembangunan sesebuah bandar tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemegahan bangunan dan pencakar langit semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kesejahteraan rakyat, nilai kemanusiaan serta keadilan sosial, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pembangunan kota perlu berteraskan nilai murni, akhlak dan semangat kebersamaan bagi memastikan kemajuan fizikal berjalan seiring dengan pembinaan masyarakat yang berkualiti.
Beliau berkata, pemikiran tokoh sejarah seperti Ibn Khaldun dalam karya Muqaddimah turut menekankan kepentingan semangat kekitaan, kesatuan dan solidariti sebagai asas kebangkitan sesebuah tamadun.
Bagaimanapun, nilai berkenaan boleh terhakis apabila masyarakat terlalu mengejar kuasa dan kekayaan sehingga mengabaikan kepentingan bersama.
Menurutnya, pembangunan bandar juga tidak boleh hanya tertumpu kepada pembinaan mercu tanda dan bangunan tinggi sehingga nasib golongan miskin, penghuni pinggir bandar serta mereka yang masih berdepan kesukaran mendapatkan rumah dan kemudahan asas terpinggir.
“Kerangka MADANI menuntut kita untuk terus menggapai di langit, namun tetap mengakar di bumi. Kemajuan teknologi dan pembangunan fizikal mesti berjalan seiring dengan pemantapan nilai dan budaya, akhlak serta keadilan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas menghadiri Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 serta peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di sini, pagi tadi.
Anwar turut mengingatkan bahawa ukuran sebenar kejayaan perancangan bandar bukan terletak pada keindahan dasar yang dirangka, sebaliknya keberkesanan pelaksanaannya dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
“Kerana membangunkan kota pada hakikatnya adalah membangunkan insan dan jiwa manusia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














