[VIDEO] Raja Charles lencun dalam sambutan kemerdekaan Antigua dan Barbuda
ANTIGUA – Raja Britain, King Charles III, basah kuyup apabila dibiarkan berdiri tanpa payung hujan semasa menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-45 Antigua dan Barbuda, Ahad lalu.
Insiden itu berlaku ketika baginda bersama Permaisuri Camilla menghadiri upacara perbarisan kemerdekaan di Stadium Sir Vivian Richards, North Sound.
Pada majlis itu, hujan tiba-tiba turun sejurus ketibaan pasangan diraja berkenaan.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan Charles, 77, mengangkat tangan sambil beberapa kali meminta payunng daripada pihak penganjuran. Baginda kelihatan kurang senang apabila tidak diberikan layanan sewajarnya.
Sementara itu, Camilla yang terlebih dahulu diberikan payung mula beredar ke kawasan tempat duduk diraja untuk berlindung.
Charles kemudian menerima payung hitam daripada seorang petugas sebelum meneruskan acara dengan memeriksa barisan anggota tentera dan pasukan beruniform yang mengambil bahagian dalam perbarisan berkenaan.
Hujan lebat itu dilaporkan berlangsung kira-kira lima minit sebelum reda, membolehkan acara sambutan diteruskan seperti dijadualkan.
Bagaimanapun, insiden itu tidak berpanjangan apabila Charles kemudian menunjukkan sisi berselorohnya ketika berbual dengan Perdana Menteri Antigua dan Barbuda, Gaston Browne.
Camilla turut dilihat kembali ceria apabila sempat ketawa sambil mengulas keadaan rambut dan pakaiannya yang turut dibasahi hujan.
Pasangan diraja itu kini dalam rangka lawatan rasmi sembilan hari ke Caribbean yang bermula pada 27 Oktober lalu, dengan Antigua dan Barbuda menjadi antara destinasi persinggahan mereka.
Lawatan berkenaan turut berlangsung ketika negara-negara Caribbean terus membangkitkan isu peranan Britain dalam perdagangan hamba pada masa lalu serta tuntutan berkaitan permohonan maaf dan pampasan sejarah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














