Kes Zara Qairina bukan senyap, keputusan 15 Januari 2027 – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir tidak pernah senyap, sebaliknya proses perundangan sedang berjalan mengikut ketetapan mahkamah.
Menerusi hantaran di Threads, beliau berkata, Mahkamah Koroner telah selesai mendengar keterangan 83 saksi berhubung kes berkenaan, manakala keputusan inkues dijadualkan pada 15 Januari 2027.
“Kes anakanda Zara bukan senyap.
“Hormat proses mahkamah yang sedang berjalan. Kita semua mahukan keadilan untuk anakanda Zara. Tak baik tipu kata senyap terus,” katanya.
Bersama hantaran tersebut, beliau turut berkongsi pautan berita mengenai kes berkenaan.
Menurut laporan Astro Awani yang memetik Bernama, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada 16 Oktober lalu menetapkan 15 Januari 2027 sebagai tarikh keputusan inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Koroner Amir Shah Amri Hassan menetapkan tarikh berkenaan selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam prosiding tersebut.

Pada 14 Oktober lalu, mahkamah selesai mendengar keterangan kesemua 83 saksi, termasuk pakar, kanak-kanak, guru dan ahli keluarga, selepas 96 hari prosiding inkues dijalankan.
Prosiding itu bermula pada 13 September 2025 dengan pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu sebagai saksi pertama, manakala pegawai penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung merupakan saksi terakhir.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan keputusan mengadakan inkues bagi menyiasat kematian Zara Qairina selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos 2025 memaklumkan bahawa mayat pelajar berkenaan akan digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Proses penggalian semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, selesai pada 7.15 malam, 9 Ogos 2025.
Allahyarhamah Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














