BERITA SEMASA

Kastam rampas dadah bernilai RM1.03 juta, sita dua Mini Cooper

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 16.39 kilogram (kg) dadah jenis bunga ganja dan ketamin bernilai RM1.03 juta dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, rampasan pertama membabitkan 7.28kg bunga ganja bernilai RM582,400 di Pos Malaysia International Hub, KLIA pada 12 Oktober lalu.

Beliau berkata, dadah berkenaan ditemukan dalam tujuh kotak yang dipercayai untuk dieksport ke sebuah negara di Eropah.

“Pemeriksaan menemukan bungkusan plastik lutsinar kedap udara yang disyaki mengandungi bunga ganja, disembunyikan di dalam kotak yang diikrarkan sebagai kasut dan barang permainan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, kes kedua membabitkan rampasan 9.114kg ketamin bernilai RM455,700 di sebuah pengendali terminal kargo pada 9 Oktober lalu.

Katanya, dadah itu dipercayai dihantar dari sebuah negara di Eropah ke Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan kargo.

“Hasil pemeriksaan menemukan sembilan bungkusan aluminium yang disyaki mengandungi ketamin, disembunyikan dalam kotak yang diikrarkan sebagai sepana paip dan kotak peralatan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Aspalila berkata, kedua-dua kes dikesan menerusi pemeriksaan rutin anggota Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Pusat Mel dan Kurier JKDM KLIA.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam bungkusan serta memberikan maklumat alamat pengirim dan penerima yang palsu atau tidak lengkap bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan berasingan, JKDM KLIA turut menyita dua kereta Mini Cooper S bernilai RM180,000 yang diimport tanpa permit sah dalam operasi di dua lokasi berasingan sekitar Sepang pada 14 September lalu.

Aspalila berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain tidak mempunyai rekod pengimportan dan pendaftaran dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, anggaran cukai dan duti yang terlibat bagi kedua-dua kenderaan itu berjumlah RM154,620.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik kenderaan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button