JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga lelaki ditahan, polis selesai siasat empat kes curi motosikal

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes curi motosikal di sekitar daerah Dang Wangi, di sini, sekali gus membantu menyelesaikan empat kes kecurian kenderaan bermotor.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 23 hingga 32 tahun itu ditahan di sekitar Jalan Dang Wangi dan Kajang semalam.

Menurutnya, tangkapan itu hasil siasatan berhubung kehilangan sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang diletakkan di Jalan Bukit Bintang pada 26 September lalu.

Beliau berkata, polis menerima laporan mengenai kehilangan motosikal berkenaan pada jam 2.11 pagi, 29 September lalu sebelum menjalankan siasatan lanjut.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan tiga suspek lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

“Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Azwan berkata, polis turut merampas dua motosikal, sehelai seluar jeans dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, tangkapan itu turut membantu polis menyelesaikan tiga kes curi kenderaan lain di sekitar Dang Wangi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor atau mana-mana bahagiannya.

“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat pada Isnin bagi membantu siasatan lanjut,” katanya lagi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button