Mangsa dikurung, diseksa selama dua hari sebelum meninggal dunia – Ketua Polis Kedah
ALOR SETAR – Remaja yang jasadnya ditemukan dibuang di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club, Gurun, Khamis lalu, dipercayai dikurung dan diseksa selama dua hari.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 19 tahun sebelum itu dipercayai dilarikan sekumpulan suspek, Isnin lalu sebelum dikurung dan dipukul di sebuah rumah di Gurun.
Jelas beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek selepas menerima aduan penduduk yang mendakwa mangsa mencuri motosikal.
“Mangsa dituduh mencuri motosikal, namun ia tuduhan tanpa ada laporan polis dibuat. Mereka tangkap suspek ini Isnin lalu dan bawa balik ke rumah salah seorang tangkapan di Gurun.
“Bagi kes ini, kita telah mereman seramai 14 suspek berusia antara 16 hingga 24 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian ini termasuk memukul mangsa sehingga maut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.
Mangsa dipercayai dipukul selama dua hari, selain rambutnya digunting sebelum meninggal dunia, malam Rabu lalu.
“Jasad mangsa kemudian dibuang di tepi jalan dekat Jalan Harvard Golf Club sebelum ditemukan oleh orang awam. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan hentakan di kepala oleh daya objek tumpul,” katanya lagi.
Adzli menambah, kesemua suspek ditahan di sekitar Gurun dan Guar Chempedak antara pukul 12 tengah hari hingga 8.30 malam pada hari sama.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City berwarna perak, gunting dan kad pengenalan milik mangsa.
Beliau berkata, hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak bertindak sendiri kepada mana-mana suspek bagi sebarang jenis jenayah, termasuk mencuri mahupun merompak.
“Apa yang perlu dilakukan adalah buat laporan polis dan serahkan siasatan dan tindakan kepada pihak polis,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







