Jerebu: Johor lanjut penutupan sekolah, institusi pendidikan hingga Jumaat depan
JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk melanjutkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri itu selama lima hari lagi susulan keadaan jerebu yang masih melanda.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, penutupan itu berkuat kuasa mulai Isnin hingga Jumaat depan.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk perkembangan semasa pencemaran udara serta risiko terhadap kesihatan dan keselamatan murid serta warga pendidikan.
“Antara faktor utama ialah jangkaan pergerakan angin dari Kalimantan pada 13 hingga 15 Oktober yang berpotensi membawa pencemaran udara merentas sempadan, selain keadaan atmosfera yang kurang membantu penyebaran bahan pencemar.
“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dilaporkan berada sekitar 170 hingga 180 tanpa menunjukkan perubahan ketara menggambarkan bahawa kualiti udara masih berada dalam kategori tidak sihat dan memerlukan pemantauan berterusan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu turut mengambil kira risiko peningkatan kepekatan zarah halus di atmosfera yang boleh menjejaskan sistem pernafasan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, murid dan golongan berisiko.
Katanya, langkah pencegahan awal perlu diberikan keutamaan bagi mengurangkan risiko pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar, selain memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat sebelum sesi persekolahan secara bersemuka disambung semula.
“Sepanjang tempoh penutupan, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan mengikut kesesuaian bagi memastikan kesinambungan proses pembelajaran murid tidak terjejas.
“Bagi sekolah yang terlibat dengan pentaksiran atau penilaian akademik dalam tempoh berkenaan, semua urusan berkaitan akan ditangguhkan dan dijadualkan semula berdasarkan ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkuasa pendidikan berkaitan,” katanya.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan IPU dari semasa ke semasa.
Katanya, sebarang keputusan mengenai pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi berdasarkan perkembangan kualiti udara serta penilaian keselamatan dan kesihatan semasa.
Dalam pada itu katanya, ibu bapa dan penjaga diseru supaya mengehadkan aktiviti luar anak-anak, memastikan mereka mendapat air yang mencukupi serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, sakit tekak atau kesukaran bernafas.
“Kerajaan Negeri Johor menegaskan bahawa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kekal menjadi keutamaan, selain meminta orang ramai mematuhi nasihat kesihatan serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








