Lima mangsa nahas helikopter FDS terima pingat anumerta
KUCHING – Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram pada 8 September lalu, dianugerahkan darjah Pegawai Bintang Sarawak (PBS) secara anumerta sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.
Mereka ialah Alexon Adit Henry, Debra Moset, Dr Ainul Baraah Kamarudin, Jessie Paya Jok dan Kapten Zainol Afiq Bee Sham.
Kesemua mereka merupakan antara 1,350 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap jasa, khidmat serta sumbangan masing-masing.
PBS merupakan darjah kebesaran negeri pada pangkat kelima dalam susunan darjah kebesaran Sarawak.
Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mendahului senarai penerima apabila dianugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima anugerah sama ialah Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Abdul Wahab Aziz; dan Pengerusi ABM Fujiya Berhad, Datuk Tay Ah Ching.
Empat individu pula menerima darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk, manakala enam individu dianugerahkan Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu.
Seramai 22 individu turut menerima darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Dato’, termasuk dua Ahli Dewan Negara, Rita Sarimah Patrick Insol dan Susan Chemerai Anding, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.
Penganugerahan itu turut menyaksikan mendiang Sibat Buyong menerima PSBS secara anumerta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








