Mangsa banjir sekitar Shah Alam mula pulang, MBSA kekal siap siaga
SHAH ALAM – Sebahagian besar mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Shah Alam dibenarkan pulang selepas keadaan cuaca menunjukkan pemulihan dan paras air semakin surut.
Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, meskipun PPS ditutup secara berperingkat, kesiapsiagaan agensi berkenaan tidak pernah berkurang.
Menurutnya, Pasukan Tindakan Kecemasan PANTAS berada dalam mod siap siaga sepenuhnya dengan pemantauan dan rondaan 24 jam terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir.
“Kita sentiasa bersedia untuk mengaktifkan semula PPS sekiranya berlaku bencana. Setiap dewan juga dipastikan dalam keadaan terbaik dari aspek kebersihan, bekalan elektrik dan kemudahan lain, termasuk penambahan tandas bergerak jika diperlukan,” katanya memetik Media Selangor.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita anjuran MBSA di Pusat Konvensyen MBSA hari ini.
Shahrin turut memaklumkan MBSA bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, KDEB Waste Management serta Pejabat Tanah dan Daerah bagi memastikan kawasan terjejas sentiasa terurus dan operasi pemulihan berjalan lancar.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan penduduk, khususnya yang tinggal di kawasan rendah, supaya lebih peka terhadap perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








