BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

LCS 1 dijangka diserah kepada Kementerian Pertahanan pada April 2027

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka menerima kapal tempur pesisir (LCS) 1 pada April 2027, selepas Lumut Naval Shipyard (LUNAS) selaku kontraktor tidak dapat memenuhi komitmen asal untuk menyerahkan kapal berkenaan pada Disember tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tarikh baharu itu diberikan LUNAS berikutan beberapa kelewatan yang memberi kesan berantai terhadap kerja pembinaan dan proses ujian serta pentauliahan kapal.

“Sebaliknya, LUNAS telah memberi tarikh baharu bahawa LCS 1 dijangka dapat diserahkan pada April 2027, iaitu kira-kira enam bulan daripada sekarang,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan LKAN setakat 25 Jun 2026, kadar kelewatan fizikal LCS 1 adalah 13.88 peratus, iaitu 85.47 peratus daripada tahap kemajuan yang sepatutnya.

Katanya, sehingga Ogos lalu, tahap kemajuan LCS 1 meningkat kepada 86.39 peratus, iaitu 13.61 peratus kurang daripada sasaran, sekali gus mengecilkan kadar kelewatan sebanyak 0.27 peratus.

Bagi keseluruhan projek pula, kemajuan meningkat kepada 80.13 peratus berbanding 78.99 peratus ketika audit dijalankan, dengan kelewatan sebanyak 9.14 peratus.

Mohamed Khaled berkata, kelewatan projek antara lain membabitkan kerja pemasangan kabel, pemasangan dan pemeriksaan peralatan, ruang penginapan, panel dan kemudahan katering kapal, selain kerja paip dan kabel, sekali gus memberi kesan berantai kepada proses seterusnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kontrak Integrated Logistics Support and Trial Aids yang memberi punca kuasa kepada segala aktiviti dan ujian atas kapal sudah ditandatangani pada 26 Ogos 2026.

“Dan dengan demikian, segala sokongan, latihan dan sebagainya telah pun boleh dimulakan,” katanya.

Mengenai peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) pula, Mohamed Khaled berkata, Surat Setuju Terima (SST) sudah ditandatangani dan dokumen kontrak dijangka dimuktamadkan pada pertengahan Oktober 2026.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan amat kecewa dengan kelewatan dan prestasi pembinaan LCS yang dipertanggungjawabkan kepada LUNAS, selain mengakui perubahan tarikh penyiapan itu memberi kesan kepada kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia dan pertahanan negara.

“Sebagai pembeli, sudah pasti Kementerian sangat mengharapkan LCS dapat diserahkan dan kalau tarikh baharunya ialah April 2027, kita harap LUNAS tidak ada apa-apa lagi alasan dan kelewatan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, MINDEF juga sudah mengeluarkan notis makluman Liquidated Ascertained Damages (LAD) kepada LUNAS sebagai tanda keseriusan kerajaan terhadap kelewatan projek berkenaan.

“Saya percaya dengan kerjasama dan komitmen Kementerian Kewangan, kali ini LUNAS tidak akan ubah lagi tarikh penghantaran dan akhirnya serahan kapal kepada Kementerian Pertahanan dan ia tetap akan dibuat dalam bulan April 2027,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button