LUAR NEGARA

Serangan peluru berpandu Houthi di Riyadh berjaya dipintas

RIYADH – Arab Saudi berjaya memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi dari Yaman ke arah ibu negara, awal pagi Sabtu.

Pasukan pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas peluru berpandu berkenaan ketika pihak berkuasa mengeluarkan amaran ancaman kepada penduduk di Riyadh dan beberapa kawasan lain.

Amaran yang diterima penduduk sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan itu meminta orang ramai berada di dalam bangunan dan menjauhi kawasan terbuka.

Beberapa letupan kemudian kedengaran di ibu negara sebelum pihak berkuasa mengeluarkan pengumuman bahawa ancaman berkenaan telah berakhir.

Pada masa sama, asap hitam tebal dan api dilihat muncul berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh, mencetuskan gangguan terhadap operasi penerbangan.

Arab Saudi bagaimanapun melaporkan tiada kematian atau kecederaan susulan serangan berkenaan.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, mendakwa kumpulan itu melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap beberapa sasaran di Riyadh.

Kumpulan berkenaan turut mendakwa menyerang kemudahan syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, di bandar pelabuhan Yanbu di pesisir Laut Merah.

Serangan itu berlaku ketika pertempuran antara Houthi dan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi semakin memuncak sejak Julai lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button