Arab Saudi tawar AS$1 bilion kepada Eliud Kipchoge untuk tukar kerakyatan
RIYADH – Legenda marathon Kenya, Eliud Kipchoge dilaporkan telah menerima tawaran luar biasa dari Arab Saudi untuk menukar kewarganegaraannya dan mewakili negara Teluk itu dalam kejohanan olahraga antarabangsa.
Menurut laporan awal yang dikeluarkan oleh Marathon Handbook, tawaran itu melibatkan pakej kewangan yang besar termasuk pembayaran pendahuluan sebanyak AS$1 bilion (RM4.1 bilion).
Sebelum ini, jumlah seperti itu hanya ditawarkan kepada bintang sukan Formula 1 atau bola sepak.
Tawaran tersebut juga didakwa mengandungi bonus berperingkat yang boleh mencecah sehingga AS$500 juta (RM2.06 bilion) dalam tempoh 10 tahun.
Selain itu, pakej tawaran itu termasuk pembinaan stadium yang dinamakan atas nama beliau di Riyadh, sebagai pusat latihan atlet baharu.
Namun, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada wakil Kipchoge atau pihak berkuasa sukan Arab Saudi berkenaan laporan tersebut dan tiada dokumen atau kontrak yang didedahkan kepada umum.
Jika benar, tawaran itu akan menjadi kejutan dalam strategi Arab Saudi memperluas pengaruhnya dalam dunia sukan terutamanya dalam arena olahraga.

Ia dilihat sebagai sebahagian daripada pelan yang lebih luas untuk menaikkan status antarabangsa negara itu melalui pelaburan besar dalam pelbagai disiplin sukan termasuk bola sepak, Formula 1, tinju heavyweight, LIV Golf dan juga melalui perkongsian rasmi dengan FIFA yang diumumkan pada tahun 2024.
Terdahulu, Arab Saudi telah dinobatkan sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034 sekali gus mengukuhkan lagi matlamat negara itu untuk menjadi pusat sukan global pada masa akan datang.
Langkah itu juga mungkin mencerminkan hasrat Arab Saudi untuk mengalihkan perhatian dunia dari pergolakan sosial dan politik dengan menjadikan sukan sebagai alat diplomasi dan propaganda antarabangsa.
Baru-baru ini, negara tersebut telah menerima perhatian dunia dengan langkahnya menarik bintang-bintang bola sepak terkemuka seperti Cristiano Ronaldo ke dalam Saudi Pro League serta komitmennya terhadap pembangunan sukan elit lain.
Kipchoge yang diiktiraf sebagai salah seorang pelari maraton terbaik dalam sejarah telah mencatatkan rekod dunia maraton dengan masa 2 jam 1 minit 39 saat pada tahun 2018 di Berlin, Jerman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








