Lebih 11.9 juta jemaah tunai umrah sepanjang Jamadilakhir
JEDDAH – Seramai 11.9 juta jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi direkodkan menunaikan ibadah umrah sepanjang bulan Jamadilakhir sekali gus mencerminkan peningkatan ketara aliran jemaah serta keberkesanan pengurusan ibadah di Tanah Suci.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Am Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaklumkan, angka tersebut berdasarkan statistik rasmi bagi bulan keenam dalam kalendar Islam itu.
“Pencapaian memberangsangkan itu menzahirkan momentum positif pelaksanaan ibadah umrah selain menyerlahkan kecekapan tinggi perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan bagi melayani jemaah,” memetik laporan Agensi Berita Saudi (SPA).
Data sama juga menunjukkan lebih 1.7 juta jemaah umrah tiba dari luar Arab Saudi sepanjang tempoh berkenaan, menandakan peningkatan keyakinan jemaah antarabangsa terhadap sistem pengurusan umrah negara itu.
Menurut laporan itu lagi, kemasukan jemaah dalam jumlah besar turut mencerminkan impak positif penggunaan platform digital canggih serta perkhidmatan logistik bersepadu yang mempermudah prosedur ketibaan sekali gus membolehkan jemaah menunaikan ibadah dengan lebih mudah, selesa dan tenang.
Peningkatan berterusan dalam pelaksanaan ibadah umrah berkenaan mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Arab Saudi dalam memperkukuh ekosistem haji, umrah dan ziarah, sejajar dengan aspirasi Visi Saudi 2030.
Melalui inovasi berterusan dan penekanan terhadap aspek penjagaan, Arab Saudi terus memudahkan akses ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sambil memastikan pengalaman kerohanian menyeluruh yang mengutamakan keselesaan serta keselamatan jemaah, bermula daripada perancangan perjalanan sehingga kepulangan mereka ke negara asal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








