KDN belum terima surat rasmi Lembaga Pengampunan berkaitan tahanan rumah Najib
KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu surat rasmi Lembaga Pengampunan berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini KDN dan Jabatan Penjara Malaysia belum menerima sebarang surat rasmi berhubung keputusan berkenaan.
“Di KDN, di mana Jabatan Penjara di bawahnya, pertama kita akan menunggu surat rasmi memaklumkan kepada kita tentang keputusan oleh Lembaga Pengampunan semalam. Sekarang ini kita belum terima apa-apa.
“Daripada pemakluman itu nanti, barulah kita jelas apakah tindakan selanjutnya yang akan kita ambil, sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni keluarga mangsa empat kanak-kanak yang lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, KDN juga perlu meneliti kandungan surat berkenaan bagi mengetahui butiran keputusan Lembaga Pengampunan, termasuk sama ada lokasi tahanan rumah ditetapkan atau perkara itu diserahkan kepada Jabatan Penjara.
“Saya nak tengok dulu surat itu. Sekarang ini tempoh Datuk Seri Najib menjalani hukuman penjara.
“Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara tetapi akan berada di satu premis lain dan tentu ada proses-prosesnya,” katanya.
Beliau berkata, KDN perlu mendapatkan kepastian berhubung keputusan berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan.
Mengulas keputusan terdahulu Lembaga Pengampunan, Saifuddin berkata hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
“Jika Datuk Seri Najib membayar RM50 juta denda yang dikurangkan daripada RM210 juta, tarikh pembebasannya adalah 23 Ogos 2028.
“Jika tidak dibayar, beliau akan dibebaskan pada 23 Ogos 2029,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata Malaysia ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan mekanisme tahanan rumah.
Katanya, KDN sebelum ini sudah mendapat persetujuan dasar Kabinet untuk memulakan proses membentangkan Rang Undang-Undang Tahanan Rumah di Parlimen.
Menurutnya, cadangan berkenaan pada asalnya bertujuan menangani masalah kesesakan penjara, khususnya membabitkan tahanan reman.
“Sekarang ini kita ada 41 penjara, tetapi penghuni penjara kira-kira 93,000 orang, sedangkan kapasiti penjara kita hanya 75,000.
“Sebab itu, saya sudah mendapat persetujuan Kabinet secara dasar untuk memulakan proses membentangkan Akta Tahanan Rumah bertujuan menangani kesesakan penjara,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya rang undang-undang berkenaan diluluskan, tahanan reman tertentu boleh ditempatkan di rumah dengan pergerakan mereka dipantau menggunakan peranti moden sehingga tarikh perbicaraan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








