DNAA Muhyiddin: Gobind gesa penjelasan Peguam Negara
KUALA LUMPUR – Orang ramai berhak mengetahui faktor material dan pertimbangan undang-undang yang membawa kepada keputusan menghentikan empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar wajar memberikan penjelasan terperinci berhubung permohonan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) itu yang akhirnya membawa kepada pembebasan Muhyiddin daripada keempat-empat tuduhan berkenaan hari ini.
Katanya, ketelusan amat penting memandangkan perbicaraan kes berprofil tinggi yang meraih tumpuan awam itu sudah hampir ke penghujungnya.
“Keyakinan terhadap Peguam Negara serta integriti sistem keadilan jenayah secara keseluruhan akan terjejas teruk jika pendakwaan aktif berprofil tinggi dihentikan di pertengahan jalan tanpa justifikasi jelas dan penerangan penuh kepada masyarakat.
“Apabila tuduhan jenayah dikemukakan terhadap sesiapa pun, jangkaan umumnya ialah pihak pendakwaan sudah meneliti segala keterangan dan mempunyai asas kukuh untuk meneruskan prosiding.
“Orang ramai berhak mengetahui faktor material khusus atau pertimbangan undang-undang yang berubah sehingga mencetuskan keputusan menghentikan proses berkenaan pada peringkat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baca juga : Muhyiddin lepas bebas empat pertuduhan Jana Wibawa RM200 juta
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan (DAA) Muhyiddin daripada pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya empat daripada tujuh kes dihadapi Muhyiddin diberi perintah DAA.
Bagaimanapun, Noor Ruwena berkata, keputusan itu hanya terpakai terhadap empat pertuduhan dan tidak membabitkan tiga pertuduhan lain yang berkaitan dengan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Muhyiddin, 79, masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta pengarahnya, Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







