BERITA SEMASA

Persiapan akhir sambutan Hari Malaysia berjalan baik – Fahmi

KUCHING – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi menyampaikan Warkah Persilaan sempena sambutan Hari Malaysia 2026.

Warkah berkenaan disampaikan di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, menjelang acara kemuncak sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam esok.

Fahmi berkata kunjungan itu turut bertujuan memaklumkan perkembangan terkini berhubung persiapan akhir sambutan yang dijadual bermula pada 8.15 malam dan berakhir kira-kira 10.30 malam.

“Alhamdulillah, kunjungan hormat telah berjalan dengan sangat baik. Saya bersama Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah telah menyembahkan Warkah Persilaan kepada Tun bagi majlis sambutan esok.

“Semua persiapan telah dimaklumkan berjalan dengan baik. Ada beberapa aspek teknikal yang akan diperkemas dan insya-Allah acara akan berjalan dengan lancar,” katanya memetik laporan BERNAMA.

Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Fahmi berkata Wan Junaidi turut berkongsi pengalaman luas beliau, khususnya ketika berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Fahmi turut memaklumkan perkembangan penerbitan sebuah buku khas mengenai Wan Junaidi oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), selain beberapa acara sisipan termasuk majlis kesyukuran di Masjid Jamek Negeri dan Pameran Hari Malaysia anjuran Jabatan Penerangan.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2026, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Kira-kira 5,000 orang dijangka hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia di BCCK.

Acara itu turut akan dihadiri Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, selain Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button