Sarawak teruskan rumah terbuka Aidilfitri, tidak terikat arahan Persekutuan
KUCHING – Kerajaan Sarawak akan tetap menganjurkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri walaupun Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membatalkan penganjuran acara berkenaan tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, arahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya melibatkan kementerian, jabatan serta agensi di bawah kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan tersebut tidak semestinya terpakai kepada kerajaan negeri termasuk Sarawak.
“Secara peribadi saya melihat arahan Perdana Menteri itu ditujukan kepada entiti Persekutuan sahaja dan tidak semestinya melibatkan kerajaan negeri,” katanya memetik laporan Borneo Post.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, Sarawak akan memastikan sambutan Aidilfitri tetap dilaksanakan secara sederhana tanpa pembaziran.
“Sarawak tidak akan mengikut arahan Persekutuan. Kita masih akan menyambut Hari Raya tetapi pada skala yang lebih sederhana,” katanya.
Abdul Karim yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata, majlis rumah terbuka Aidilfitri merupakan acara penting bagi umat Islam selepas menamatkan ibadah puasa Ramadan.
Namun katanya, sambutan itu perlu diadakan secara bertanggungjawab dengan mengelakkan perbelanjaan berlebihan.
“Apabila menyambut Hari Raya pada 1 Syawal nanti, kita perlu sentiasa mengingatkan diri supaya tidak berbelanja secara melampau,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, musim perayaan juga menjadi peluang terbaik untuk rakyat pelbagai kaum di negara ini mengetepikan perbezaan serta mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kita tidak boleh mengetepikan terus sambutan Hari Raya kerana situasi global semasa. Inilah masa untuk rakyat Malaysia bersatu dan memperkukuh hubungan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Persekutuan memutuskan semua kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah menggalakkan perbelanjaan lebih berhemat susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, keputusan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet sebagai usaha menunjukkan disiplin fiskal yang lebih ketat dalam sektor awam.
Katanya, langkah berkenaan juga bertujuan menghantar mesej bahawa perbelanjaan kerajaan perlu dilakukan secara sederhana dan berhemah walaupun bekalan barangan keperluan seperti minyak dan gas di negara ini masih stabil ketika ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















