Kes pelupusan harta TH RM860.3 juta: Jamil Khir mahu guna mahkamah bersihkan nama
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahu menggunakan proses perbicaraan di mahkamah sebagai ruang untuk membersihkan namanya berhubung pertuduhan yang dihadapinya berkaitan pelupusan harta Tabung Haji (TH) berjumlah RM860.3 juta.
Jamil Khir berkata, beliau yakin mahkamah akan memberikan keadilan terbaik dalam proses perbicaraan yang akan dilaluinya.
“Saya ingin gunakan (proses mahkamah) ini untuk membersihkan diri saya di hadapan mahkamah kerana ini antara tempat yang terbaik untuk mendapatkan keadilan.
“Saya meyakini, insya-Allah mahkamah akan memberikan yang terbaik dalam keadilan ini. Bila masuk mahkamah, tentunya ada balas hujah dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Baca juga : Jamil Khir mengaku tidak bersalah sebabkan pelupusan aset TH RM860.3 juta
Terdahulu, Jamil Khir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan melupuskan harta TH berjumlah RM860.3 juta.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas pertuduhan dengan secara tidak jujur telah menyebabkan Lembaga Tabung Haji melupuskan harta miliknya kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co. Ltd.Baca Panduan Pelancongan
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 3 April 2015 hingga 17 Ogos 2017, di pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 403, Jamil berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan denda.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM300,000 terhadap Jamil Khir dan merampas pasportnya, selain menetapkan 5 November ini bagi pengurusan kes.
Mengulas lanjut, Jamil berkata, kes berkenaan mempunyai perjalanan yang agak panjang sejak penelitian Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji pada 2018 sehingga pengumuman rasmi berhubung perkara itu.
Katanya, antara perkara yang dikaitkan dengannya adalah berkaitan soal sewaan hotel Tabung Haji.
“Saya mengangkat syukur kerana perkara ini menjadi perhatian yang penting kerana salah satu perkara yang menjadi perniagaan teras dan penting untuk Tabung Haji ialah penginapan.
“Jadi penginapan ini, saya mengambil pendekatan pada waktu dahulu untuk kita ‘lock’ hotel-hotel dalam tempoh dan jangka waktu yang panjang supaya kita mendapat pulangan harga ataupun ‘lock’ harga yang terbaik untuk mengurangkan kos haji dan sebagainya,” katanya.
Jamil berkata, pertuduhan yang dibuat terhadapnya itu akan dijawab melalui proses pembelaan di mahkamah.
“Bagaimanapun, hari ini merupakan pertuduhan yang dibuat dan saya akan membela diri saya di mahkamah nanti bagi perkara-perkara yang telah disebut di dalam mahkamah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








