11 anggota SMART berlepas ke Nepal sertai misi kemanusiaan, mohon doa rakyat Malaysia
SUBANG – Seramai 11 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal hari ini bagi menyertai misi kemanusiaan susulan bencana yang melanda negara berkenaan.
Pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 9 pagi dengan menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Komander SMART, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1), Abdul Manaf Che Isa mengetuai misi berkenaan yang dijangka mengambil masa penerbangan kira-kira lima jam.
Menurut Abdul Manaf, seluruh anggota SMART yang terbabit akan melaksanakan amanah diberikan sebaik tiba di Nepal, dengan fokus utama memastikan misi kemanusiaan itu mencapai objektif ditetapkan.
“Pasukan SMART mempunyai misi yang sangat jelas, iaitu misi kemanusiaan. Mohon doakan pasukan kami berjaya dalam misi kali ini,” katanya ketika Majlis Pelepasan Pasukan SMART di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Beliau berkata, pasukan SMART dijadual berada di Nepal selama kira-kira tujuh hari dan akan menerima taklimat sebaik tiba sebelum diatur gerak ke lokasi yang ditetapkan.
“Di sana nanti kita akan ditaklimat oleh wakil Malaysia bersama-sama wakil kita untuk kita diatur gerak ke lokasi yang ditetapkan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Misi berkenaan turut disokong 31 kru TUDM yang mengendalikan pesawat A400M, selain pelbagai peralatan khusus yang dibawa SMART bagi melaksanakan tugasan mencari dan menyelamat.
Antara kelengkapan dibawa termasuk peralatan penyelamatan teknikal (technical rescue), komunikasi serta peralatan berkaitan perubatan dan kesihatan.
Abdul Manaf berkata, seluruh pasukan berharap misi kemanusiaan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








