Berita Semasa

2 kali diserang strok, komposer terkenal Ross Ariffin kini ditempatkan di rumah kebajikan

KUALA LUMPUR – Komposer dan pemuzik terkenal era 1990an dan awal 2000 Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin kini ditempatkan di Rumah Kebajikan Warga Emas Taman Bukit Larang, Telok Mas, Melaka.

Menurut Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman, komposer yang pernah mencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan Fauziah Latiff itu juga kini menghadapi masalah kesihatan sehingga mengganggu pergerakannya.

“Sebelum ini Ross hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasar Seni dan Melaka.

“Alhamdulillah sekarang Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka menempatkan Ross di sini.

“Ross pun dah tak berapa sihat. Pernah dua kali kena strok. Tengok dia jalan pun kita yang kesian,” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Ajak.

Dalam pada itu, Tok Ajak juga mengajak rakan-rakan artis yang pernah bekerjasama dengan beliau untuk menziarahi komposer tersebut sebagai sokongan moral.

“InsyaAllah Tok cuba cari jalan untuk sampaikan keadaan Ross kepada artis-artis yang pernah bekerjasama dengan beliau.

“Sesiapa yang kenal boleh lah ziarah beliau memberikan sokongan moral untuk teruskan kehidupan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan keadaan Ross Ariffin yang menjadi gelendangan selepas hilang punca pendapatan.

Antara kejayaan diraih Ross adalah melalui lagu ‘Semalam Ku Tolak Ke Tepi’ nyanyian Liza Aziz memenangi ABU Golden Kite World Song Festival dan lagu ‘Ceritera Cinta’ nyanyian Jaclyn Victor menang Vokal Terbaik Juara Lagu (AJL) Ke-22 pada 2008.

Show More

Related Articles

Back to top button