RENCANA

Makanan untuk gelandangan, akhirnya jadi timbunan sampah

KEHIDUPAN gelandangan di bandar-bandar besar terutama di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang sering mendapat perhatian masyarakat negara ini yang cukup prihatin.

Contoh terbaik boleh dilihat pada sepanjang bulan Ramadan apabila pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) tampil memberikan sumbangan terutama dalam bentuk makanan dalam pek.

Namun di sebalik niat murni ini, saban tahun kita menyaksikan ‘keterujaan’ untuk membantu golongan tersebut berakhir dengan pembaziran dan sampah sarap yang mencemarkan persekitaran.

Sumbangan dan agihan bantuan kepada gelandangan perlu dilaksanakan secara sistematik dan kerjasama antara pelbagai organisasi.

Fara Suzana dari Desa Pinggiran Putra berpendapat bahawa usaha NGO dalam membantu golongan gelandangan wajar diteruskan namun perlu diuruskan dengan lebih tersusun.

“Terdapat sesetengah tempat yang mengalami masalah pembaziran makanan, menyebabkan kawasan menjadi kotor dengan sampah-sarap.

“Seeloknya NGO boleh mengadakan satu sistem yang lebih sistematik. Misalnya, cuba buat tinjauan tentang jumlah gelandangan di sesuatu kawasan sebelum turun ke padang untuk mengagihkan bantuan,” katanya.

Fara Suzana

Beliau juga mencadangkan agar badan kerajaan atau agensi berkaitan turut campur tangan dalam menyelaraskan sistem pengagihan makanan supaya lebih berkesan.

Sementara itu, Julaiha Adnan dari Kampung Sungai Ramal Dalam turut bersetuju bahawa perlu ada sistem yang memastikan makanan hanya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Pengagihan makanan kepada gelandangan perlu dilakukan secara berpusat bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan kekotoran.

“Kita mesti tujukan sumbangan tersebut kepada mereka yang sepatutnya menerima.

“Contohnya, kita serahkan kepada satu badan yang telah mengenal pasti lokasi gelandangan.

“Bila itu dilakukan, Insya-Allah, pembaziran tidak akan berlaku,” jelasnya.

Julaiha

Julaiha turut berkongsi pengalamannya dalam memberi sumbangan makanan asas seperti beras, telur, minyak dan gula kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, pemberian bahan makanan yang belum bermasak juga dapat mengatasi masalah pembuangan sisa makanan di kaki lima dan tempat awam.

Papan notis makluman mengenai pemberian makanan kepada golongan gelandangan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohd Shahril Abu Bakar, 48, dari Nilai, Negeri Sembilan pula menegaskan bahawa masalah utama dalam pengagihan makanan kepada gelandangan adalah kekurangan koordinasi antara NGO.

“NGO-NGO ni tak organize. Bila tak organize, banyak sumbangan yang bersilang dan bertindih.

“Contohnya, satu NGO beri makanan di satu tempat, NGO lain pun beri makanan di tempat yang sama. Akhirnya, lebihan makanan terbuang begitu sahaja,” katanya.

Justeru, Mohd Shahril mencadangkan agar NGO mengadakan mesyuarat dan membahagikan kawasan masing-masing untuk memastikan setiap gelandangan mendapat bantuan yang sepatutnya.

Mohd Shahril

“Harapan saya, NGO perlu ada integrasi dan berbincang sesama sendiri. Bukan hanya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja, tapi di bandar-bandar lain juga,” tambahnya.

Selain perancangan dalam pengagihan katanya, perlu juga ada pihak yang memberi kesedaran tentang kebersihan dan pengurusan sampah kepada golongan penerima.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pihak berwajib dan NGO duduk semeja, menyusun strategi yang lebih sistematik dan lestari demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa sebarang pembaziran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button